Testing

Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Sunday, February 19, 2017

Doktor pelatih perlu lebih bersedia hadapi tekanan di tempat kerja


KUALA LUMPUR: Situasi cemas dan sanggup mengorbankan waktu cuti adalah antara cabaran yang perlu dihadapi golongan muda dalam kerjaya doktor atau pegawai perubatan, kata Presiden Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail.

Beliau berkata kerjaya dalam bidang perubatan memerlukan komitmen tinggi terutama dalam mengendali dan merawat pesakit, apatah lagi ketika melibatkan nyawa pesakit.




"Bergelar seorang doktor atau pegawai perubatan... masa yang ada adalah milik pesakit jadi mereka (doktor atau pegawai perubatan) harus tahu bahawa kerjaya ini bukan mudah kerana mereka akan bekerja tidak tentu masa.

"Tekanan lebih tinggi akan dirasai jika mereka perlu bekerja lebih 24 jam di samping harus melayani kerenah pesakit dan arahan daripada doktor kanan yang lebih berpengalaman," katanya ketika dihubungi Bernama.

Selasa lepas, Kementerian Kesihatan mengambil beberapa langkah termasuk memberi kaunseling dan pendedahan kerjaya sebelum seseorang pegawai perubatan memulakan latihan perubatan bagi membantu mereka menangani tekanan.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata setiap tahun kementeriannya mendapati 20 hingga 30 peratus doktor pelatih tidak dapat menghabiskan latihan dalam tempoh 24 bulan yang ditetapkan kerana mengalami tekanan di tempat kerja.

Dr Ahmad Shukri yang menyokong langkah kerajaan itu, berkata selain kesediaan untuk berdepan dengan cabaran dan tekanan di tempat kerja, seseorang itu mesti mempunyai minat dalam bidang perubatan dan tidak menceburinya kerana desakan ibu bapa.

Beliau berkata kualiti dan imej profesionalisme kerjaya itu akan terjejas jika mereka tidak berminat dalam bidang perubatan.

"Sekarang ini kalau ada kesilapan dilakukan oleh doktor, orang ramai mudah tular, jadi saya nasihatkan golongan doktor supaya mempelajari kemahiran berkomunikasi dengan pesakit dan tidak terikut-ikut dengan emosi," katanya.

Pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mendedahkan doktor merupakan penjawat awam paling ramai dikesan ponteng kerja, kebanyakannya melibatkan doktor pelatih, dan ada antara mereka 'hilang' selama 200 hari tanpa dapat dikesan.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) Dr Azlan Helmy Abd Samat berkata badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan kesihatan serta doktor kanan digalakkan mempromosi aspek keselamatan psikologi.

"Kami menggalakan doktor-doktor muda untuk proaktif dalam membina pengetahuan dan kemahiran perubatan mereka selain sentiasa mendapatkan bimbingan dan bantuan daripada doktor kanan dalam tugas harian," katanya.

Dr Azlan berkata doktor muda harus sedar tempoh latihan adalah asas kepada perkembangan mereka sebagai golongan profesional penjagaan kesihatan dan kesediaan mereka untuk masa depan dan tanggungjawab klinikal yang lebih besar.

Pegawai Perubatan dan Kesihatan dari Klinik Kesihatan Al-Muktafibillah Shah di Dungun, Terengganu, Dr Nur Akmal Ismail, 28, berkata doktor muda perlu belajar mengawal tekanan dan sentiasa bersikap positif.

Aktivis Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) itu berkata mereka boleh mendapatkan pengalaman daripada NGO yang banyak menganjurkan program persediaan ke alam pekerjaan kepada pelajar perubatan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Makluman keberangkatan MedicMesir bagi sesi pengambilan 2017

PENERBANGAN PERTAMA = MANSOURA & ALEX ✈ Oman Air( 23 September 2017) -Dep KUL : 9.30am -Arrive Cairo :17.05pm ✈ Info Flight  Kul➡Muscat ...