Testing

Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Tuesday, February 14, 2017

Cara Mudah Menghafal


Assalamualaikum. Entry saya untuk kali ini ialah perkongsian tips-tips belajar kepada adik-adik yang masih belajar terutamanya kepada adik-adik yang belajar di luar negara.
Melanjutkan pelajaran di luar negara memanglah menjadi idaman setiap pelajar, tak kiralah pelajar-pelajar sekolah menengah mahupun dikalangan adik-adik yang masih di bangku sekolah rendah. Berjaya melanjutkan pelajaran di luar negara tidaklah bermaksud susah payah kita telah terbayar, malah sebenarnya ini bermaksud ada susah payah yang lebih besar bakal menanti kita dihadapan. Tidaklah saya bermaksud belajar didalam negara tidak susah, tapi dugaan dan cabaran belajar di luar negara ini perlukan kepada lebih kesungguhan dan konsistensi yang berpanjangan untuk berjaya.


Ingin saya kongsikan disini semoga menjadi panduan kepada adik-adik yang masih belajar di luar negara, ialah beberapa tips untuk mudah mengingat apa yang kita belajar. Seringkali kita bertanya kepada diri, “Kenapa apa yang aku baca ni susah nak ingat?” “Kenapa apa yang dulu dah baca, tapi bila dah dekat-dekat nak exam ni dah lupa dah?” “Urghhh, semalam dah baca, hari ni dah lupa dah!”, dan banyak lagi soalan-soalan yang timbul yang membuatkan kita “frust”.
Saya sangat memahami, belajar di luar negara ini memang susah. Lecture dalam bahasa asing, buku-buku rujukan yang ada pun dalam bahasa asing, tutorial dalam bahasa asing, soalan pepriksaan dalam bahasa asing, juga rakan-rakan sekelas adalah rakyat-rakyat asing. Tidaklah saya nafikan ada dikalangan kita yang mahir dan fasih berbahasa asing: Bahasa Inggeris, namun saya yakin majoriti daripada kita hanya pada tahap “cukup makan” sekadar melepasi par sahaja. Oleh itu, perlulah ada pendekatan ataupun tips yang boleh kita applikasi dalam teknik pembelajaran kita untuk mencapai kejayaan yang kita idam-idamkan.
Antara tips-tips yang boleh digunapakai ialah:
Mula untuk belajar awal.
Kebanyakkan daripada kita hanya tunggu apabila dekat dengan exam barulah kita nak mula belajar atau ulangkaji. Kenapa tidak mahu mula awal-awal lagi, seawal bermulanya semester? Saya yakin banyak yang perlu dibaca dan diulangkaji, oleh itu masa yang diperlukan untuk menghadam dan mengingati satu-persatu isi-isi penting juga panjang dan lama. Masa yang singkat beberapa minggu sebelum exam bukanlah masa yang ideal untuk mengingat ilmu-ilmu baru, pada tahapan stress yang kemuncak ditambah lagi beberapa assignments yang akan due, tidak mustahil tetapi adalah sangat susah untuk mengingat ilmu-ilmu baru pada masa ini. Masa ini adalah masa yang sebenarnya sesuai untuk mengulangkaji ilmu-ilmu yang sememangnya anda sudah hafal atau tahu.
Mulalah belajar daripada sekarang. Jangan ditunggu sehingga last minute, baru kita nak mula belajar. Biarpun sedikit demi sedikit atau semuka-surat kita belajar setiap hari daripada sekarang, nanti lama-lama jadi bukit, daripada kita memerah otak kita untuk mengingat sebuah buku seminggu sebelum tarikhexam.
Mengulangkaji sedikit-sedikit.
Daya mengingat manusia adalah terhad. Otak manusia tidak mampu untuk memproses dan mengingat banyak maklumat yang datang kepadanya dengan sekaligus pada satu masa. Ia perlukan masa untuk memproses dan juga untuk mengingat.
Cubalah untuk fokus kepada beberapa topik-topik kecil ketika mengulangkaji. Buatlah satu jadual belajar. Cubalah untuk habiskan ulangkaji hanya pada beberapa topik kecil setiap hari. Contohnya: Isnin – Pneumonia, Selasa – COPD, Rabu – Asthma, Khamis – Pulmonary Embolism, Jumaat – Pneumothorax dan sebagainya, daripada terus untuk cuba menghabiskan satu bab Diseases of the Respiratory System sekaligus dalam masa sehari kemudian bertukar kepadasystem yang lain hari berikutnya. Dengan cara begini lebih mudah untuk kita memahami dan menghafal isi-isi penting berkaitan setiap topik-topik yang dibaca.
Cuba untuk faham, bukan hanya sekadar hafal.
Kajian telah menunjukkan bahawa apabila kita faham sesuatu perkara atau mekanisma, ianya akan lebih lama kita ingati daripada hanya menghafalnya sahaja. Sebagai contoh, sekiranya kita membaca bagaimana sistemcardiovascular berfungsi, bermula daripada jantung melalui saluran darah i.e. aorta –> arteries –> arterioles –> capillaries –> veins –> vena cava, kemudian kembali ke jantung, lebih mudah untuk kita lukiskan diatas kertas gambar jantung dan saluran-saluran darah tersebut, kemudian kita cuba fahami dengan membayangkan seolah-olah kita adalah sel-sel darah yang melalui saluran-saluran darah tersebut. Dengan ini lebih membuatkan kita faham bagaimana sistem itu berfungsi dan insyAllah ianya akan lebih lama “melekat” dalam memori kita.
Belajar menggunakan pelbagai deria.
Apabila anda membaca, kebiasaannya anda hanya membaca (menggunakan deria penglihatan sahaja). Ada satu kajian yang saya baca, yang mengatakan bahawa memori kita akan lebih terangsang untuk mengingati sesuatu ilmu tatkala deria-deria kita terangsang. Lebih banyak yang terangsang, katanya, lebih baik. Sebagai contoh, membaca (melihat) sambil menulis nota (rasa dengan jari), lebih baik daripada hanya membaca. Ataupun, membaca sambil membuat nota, dan sambil mendengar musik, mengikut kepada artikel yang dibaca tersebut, adalah lebih baik. Tetapi janganlah kita mendengar kepada musik-musik yang bersuara atau berlirik, ianya akan mengganggu fokus kita, tetapi dengarlah kepada musik-musik instrumental atau bacaan ayat-ayat al Quran yang menenangkan hati dan fikiran kita, dan tidak menghilangkan fokus kita kepada apa yang sedang kita belajar. Saya yakin, teknik ini mungkin tidak berkesan kepada semua, tapi insyaAllah kepada sesiapa yang masih tercari-cari cara untuk mudah mengingat, bolehlah mencuba teknik ini sama ada sesuai dengan anda ataupun tidak.
Menggunakan imej-imej sebagai bantuan.
Memori manusia lebih mudah mengingat imej daripada perkataan ataupun fakta-fakta. Sebagai contoh, lebih mudah untuk kita ingat apabila kita melihat gambar seekor kucing putih berbelang kuning, ekor kembang berwarna kuning sepanjang lebih kurang 15 cm, bermata hijau, berbulu panjang, telinganya tinggi dan lain-lain daripada dengan saya bercerita kepada anda sifat kucing tersebut ataupun dengan anda membaca tulisan saya di sini berkaitan kucing tersebut.
Ini bukan hanya mudah terutamanya untuk mengingati fakta, tapi juga tidak mustahil ianya boleh digunakan untuk mengingati sesuatu mekanisma perbuatan atau gerak kerja sistem. Saya dahulunya gunakan teknik ini ketika belajar untuk mengingat fakta-fakta anatomy tubuh badan manusia. Anatomy tubuh manusia sememangnya sangat kompleks ditambah lagi dengan nama-nama setiap organ dan tisu-tisu dalam badan manusia ini dinamakan dalam bahasa latin, ini membuatkannya lebih susah untuk dihafal. Saya selalunya akan lukiskan kembali bahagian tubuh yang saya cuba untuk hafal tersebut dalam rajah skema yang sangat ringkas diatas kertas A4, kemudian saya akan cuba untuk mengimbas kembali buku anatomy saya berserta gambar rajah skema saya di sebelah. Bila saya membaca teks buku anatomy tersebut, kali ini saya cuba untuk gambarkan rajah skema tersebut dalam minda saya, sambil baca sambil buat connection kepada rajah skema tersebut (dalam kepala), dan alhamdulillah ianya lebih mudah melekat dalam memori saya daripada hanya membaca teks buku sahaja.
Tidak mengulangkaji pelajaran atau membaca ilmu baru ketika dalam kepenatan.
Badan manusia ada kapasitinya, ada limitnya. Badan kita berfungsi dengan baik sekira ianya tidak didalam state kepenatan atau exaustion. Begitu juga dengan otak kita untuk memfokus kepada apa yang kita baca atau lakukan. Pastikan anda mendapat cukup rehat sebelum anda memulakan ulangkaji. Ulangkaji dalam keadaan badan keletihan dan kepenatan hanyalah membuang masa anda. Sekiranya anda rasa badan anda penat dan susah untuk anda memfokus kepada teks-teks yang anda baca, eloklah sekiranya anda tidur sejenak, kemudian bangun semula untuk menyambung ulangkaji, daripada anda meneruskan juga ulangkaji tanpa sedikitpun yang dapat anda ingat dalam memori anda.
Faktor pemakanan juga memainkan peranan penting kepada kesihatan tubuh badan dan keupayaan untuk mengingat. Pastikan anda makan makanan yang berkhasiat. Cuba elakkan makanan ruji dan makanan-makanan yang tidak sihat. Cuba juga untuk kurangkan mengambil minuman-minuman bertenaga i.e. Red Bull, Livita, V, Mother, Monster dan sebagainya. Minuman-minuman ini mengandungi banyak caffeine. Terlalu banyak atau terlalu kerap mengambilnya, akan merosakkan badan anda. Tabiaat mengambil kopi yang terlalu pekat dan kuat untuk stay-up malam untuk belajar juga sekiranya boleh, cubalah untuk elakkan.
Manfaatkan masa yang ada sebaiknya.
Antara sebab kenapa kadang-kalanya kita tidak dapat mengingati ilmu-ilmu yang telah kita pelajari ialah kurangnya masa yang kita peruntukkan untuk mengulangkaji pelajaran dan kita tidak memanfaatkan masa yang kita ada dengan sebaikya. Kita banyak menghabiskan masa-masa lapang kita dengan membuat perkara-perkara yang merugikan dan tidak bermanfaat kepada diri kita. Kita mampu menghabiskan tiga atau empat jam dengan bermain komputer games atau melayari kartun-kartun anime di komputer, tetapi kita merasa malas untuk belajar atau mengulangkaji pelajaran. Kita menghabiskan sepanjang hari dengan bermain play station atau Dota di komputer, tetapi jarang kita habiskan masa seharian kita untuk kita ulangkaji pelajaran yang telah kita pelajari di universiti pada hari tersebut. Kita hanya akan tunggu untuk membuat ulangkaji apabila hanya tinggal beberapa minggu atau hari sahaja lagi sebelum exam bermula.
Masa itu adalah kehidupan. Sekiranya kita membazir masa kita, seolah-olah kita membazirkan kehidupan kita. Saya amat mengkagumi diari kehidupan seorang president atau perdana menteri, mereka boleh mencapai beberapa perkara dan boleh berada di beberapa tempat dalam sehari. Sekiranya mereka mampu untuk memanfaatkan masa mereka untuk mencapai beberapa matlamat dalam sehari, kita juga mampu. Kita juga ada 24 jam sehari, sama seperti mereka.
Ikhlaskan niat dan perbanyakkan amalan kepada Allah.
Saya amat mengkagumi mereka yang mampu menghafal sebuah al Quran. Menghafal al Quran bukannya mudah. Menghafal al Quran adalah menghafal perkataan demi perkataan tanpa salah atau silap sedikitpun. Tidak sama seperti kita menghafal buku-buku rujukan sains, kita hanya mengambil intipatinya sahaja, tidaklah kita menghafal perkataan satu per satu.
Ilmu ini juga milik Allah. Allah yang layak umtuk memberi ilmu ini kepada sesiapa sahaja yang Dia mahukan. Ikhlaskan niat kita untuk kita gunakan ilmu ini kepada kebaikkan, insyaAllah Allah akan membantu kita untuk mudah kita mengingat.
Para hafiz al Quran, antara tips yang memudahkan mereka menghafal al Quran ialah dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat seharian. Amalan-amalan sunat ini adalah pembersih hati. Kata Imam Syafie, “Ilmu ini umpama cahaya. Cahaya susah untuk memasuki hati-hati yang dipenuhi oleh titik-titik hitam (iaitu dosa)”. Elaklah daripada melakukan dosa kepada Allah, ini termasuklah dosa-dosa kecil, kerana dosa-dosa kecil inilah yang kelak memenuhi hati-hati kita, dan menyukarkan kita untuk mengingat ilmu-ilmu yang kita baca.
Nota ringkas atau mind-map.
Nota ringkas atau mind-map sangat berguna terutamanya ketika untuk beberapa hari sebelum kita menghadapi peperiksaan. Kalau kita sempat, semasa kita mengulangkaji pelajaran, cubalah untuk membuat nota seringkas yang mungkin untuk jadi rujukan kita kemudian sebelum peperiksaan nanti. Nota-nota ringkas in hanya sebagai recap sahaja kepada apa yang kita dah baca dan faham sebelum ini. Hari-hari sebelum exam bukanlah masa untuk kita baca ilmu baru, atau buka semula buku rujukan yang telah kita baca dahulu, tetapi hanya sekadar masa untuk kita recap intipati-intipati yang telah ada dalam memori kita.
Perlu berusaha bersungguh-sungguh dalam belajar, dan bersabar.
Sekiranya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk belajar, merasai keperitan untuk memperoleh ilmu-ilmu ini, kita sebenarnya akan lebih menghargai apa yang kita dapat dan selalunya akan lebih mudah untuk kita ingat apa yang kita belajar. Kesusahan itu sesungguhnya mengajar. Imam Bukhari, seorang yang terkenal dengan kebolehan menghafal ratusan ribu hadis-hadis sahih, telah melalui fasa pembelajaran begini. Beliau terpaksa mengharungi padang pasir yang panas beribu-ribu batu untuk hanya sekadar memperolehi satu hadis. Atas kesungguhkan dan susah payah beginilah, akhirnya beliau mampu untuk mengingat ratusan ribu hadis-hadis sahih didalam memorinya. Saya yakin, kita juga mampu.
Tidak ada manusia diatas dunia ini yang lahirnya genius. Manusia bijak pandai dan berjaya adalah lahir daripada susah payah dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi sebelum menempa kejayaan. Kejayaan tidak datang tanpa titik peluh. Titik peluh itulah sebenarnya adalah azimat-azimat kejayaan.
– Dr. Shaiful Aizad Shafie

No comments:

Post a Comment

Makluman keberangkatan MedicMesir bagi sesi pengambilan 2017

PENERBANGAN PERTAMA = MANSOURA & ALEX ✈ Oman Air( 23 September 2017) -Dep KUL : 9.30am -Arrive Cairo :17.05pm ✈ Info Flight  Kul➡Muscat ...