Testing

Permohonan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi ke Mesir masih dibuka. Segala pertanyaan boleh terus hubungi Encik Fakrul 0197586167 , Cik Nadirah 0133023030 , Dr Ahmad 0133061313 , UmmiMM 0196206167

Friday, November 25, 2011

RAKYAT TOLAK TANTAWI

Wartawan: Syed Anas Syed Ismail(ISMA Mesir)

KAHERAH, 22 November: Demonstrasi di Kaherah dan lain-lain wilayah di Mesir masih diteruskan walaupun Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) telah berikrar untuk membentuk kerajaan sementara yang digelar ‘Kerajaan Penyelamat’ dan menjalankan peralihan kuasa menjelang pertengahan tahun depan.

Beribu-ribu penunjuk perasaan yang terlibat dalam “Himpunan Sejuta Rakyat Untuk Selamatkan Negara” memutuskan untuk terus berhimpun di Dataran Tahrir, Kaherah dan bandar-bandar lain seperti Alexandria.

Bilangan penunjuk perasaan yang mencecah ratusan ribu dalam perhimpunan kali ini telah menjadikan perhimpunan ini sebagai perhimpunan kedua terbesar selepas Revolusi 25 Januari. Perhimpunan kali ini adalah untuk menuntut pihak tentera mempercepatkan proses peralihan kuasa, dan membantah tindakan polis yang zalim dan ganas ketika menyuraikan orang ramai dari Medan Tahrir sehingga menyebabkan puluhan orang terbunuh dan lebih 1300 orang tercedera setakat ini.

Protes Berterusan

Ketua Majlis Tertinggi Angkatan Tentera, Al-Musyir Mohamed Hussein Tantawi dalam ucapannya telah berjanji untuk mempercepatkan Pilihanraya Presiden kepada pertengahan tahun 2012, meneruskan pilihanraya parlimen yang dijadualkan untuk bermula pada Isnin ini, menerima perletakan jawatan Dr Essam Sharaf dan bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan sementara bagi merealisasikan tuntutan rakyat.

Penunjuk perasaan yang kelihatan tidak berpuas hati dengan ucapan tersebut terus melaungkan slogan ‘Rakyat mahu Al-Musyir diturunkan!’ bagi menentang pemerintahan tentera dan Al-Musyir sendiri. “Dia (Tantawi) seolah-olah seperti meniru idea ucapan Hosni Mubarak,” kata salah seorang dari penunjuk perasaan, Sara Hussein.

Penunjuk perasaan menganggap bahawa ucapan dan janji Tantawi itu tidak mencukupi, dan menuduh beliau cuba untuk melengahkan masa peralihan kuasa. Penunjuk perasaan juga turut menuntut agar dilucutkan segala kekuasaan tentera dan segera membentuk Majlis Pimpinan Awam (Majlis Ra’isi Madani).

Reaksi Parti-Parti Politik

Sementara itu, parti-parti politik yang telah bersidang bersama SCAF semalam telah memberikan reaksi yang berbeza terhadap ucapan Tantawi.

Parti yang dinaungi Ikhwan Muslimin, Parti Keadilan dan Kebebasan (FJP) melalui setiausahanya, Dr Mohamed Saad Katatni berkata, “Kami komited dengan janji-janji yang telah diberikan oleh SCAF dan akan memantau dengan teliti proses peralihan kuasa ini agar rakyat mendapat kembali haknya melalui Pilihanraya Presiden yang dijadualkan pada pertengahan tahun 2012.”

Katatni dalam sidang medianya turut menuntut tindakan segera dari pihak berkuasa untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mereka yang telah membunuh dan mencederakan ribuan rakyat yang berhimpun di Medan Tahrir.

Berlainan pula dengan kumpulan ‘Shabab 6 April’ yang menolak mentah hasil mesyuarat tersebut. Menurut mereka,segala tuntutan-tuntutan rakyat di Medan Tahrir adalah tetap dan tidak perlu dibincangkan. Sebaliknya Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) perlu melaksanakan tuntutan-tuntutan tersebut dengan segera dan berundur dari pemerintahan mereka yang korup.

Mempercepatkan Peralihan Kuasa

Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) terus menegaskan bahawa pihak Majlis tidak akan mengambil alih dan meneruskan pemerintahan seperti yang disangkakan, malah pihak Majlis komited untuk terus memastikan proses peralihan kuasa berjalan dengan baik dan lancar.

Dalam perbincangan yang telah dihadiri oleh beberapa pimpinan parti politik Mesir tersebut, SCAF telah bersetuju untuk membentuk kerajaan sementara yang baru bagi menggantikan kerajaan pimpinan Dr Essam Sharaf dan berjanji untuk melaksanakan peralihan kuasa pada pertengahan tahun depan, lebih awal dari yang dijadualkan. SCAF juga menekankan bahawa pilihanraya parlimen akan berjalan seperti yang ditetapkan iaitu pada Isnin depan dan tempoh-tempoh yang telah ditetapkan.

Menurut pemimpin Parti Pertengahan, Abul-Ela Madi yang turut menyertai perbincangan tersebut, Majlis Tertinggi Angkatan Tentera (SCAF) telah bersetuju untuk membentuk sebuah kerajaan sementara dalam masa beberapa hari lagi. Kenyataan ini telah disahihkan oleh Salim Al-Awa — calon presiden dari golongan Islamis — dan beliau menegaskan bahawa objektif penubuhan ‘Kerajaan Penyelamat’ ini adalah untuk merealisasikan tuntutan ‘Himpunan 25 Januari’. Beliau seterusnya menyatakan bahawa El-Baradaie dan Abdel Moneim Aboul Fotouh adalah calon yang paling layak untuk memimpin kerajaan sementara ini.

Amerika Menyambut Baik

Rentetan ucapan tersebut, kerajaan Amerika Syarikat yang memerhati dengan teliti perkembangan keadaan di Mesir turut memuji tindakan ketua Majlis Tertinggi Angkatan Tentera, Al-Musyir Tantawi atas janji-janjinya untuk menyerahkan pemerintahan kepada rakyat dengan segera. Walau bagaimanapun, AS turut menyuarakan kebimbingan dan kutukan terhadap keganasan yang dilakukan ke atas penunjuk perasaan,melalui jurucakapnya Victoria Nuland.

Beliau menambah, negaranya mengutuk penggunaan kekerasan yang berlebihan oleh pihak polis, dan menggesa pihak berkuasa Mesir untuk mengekang pasukan keselamatan dari terus berlaku ganas terhadap rakyat di Medan Tahrir serta membenarkan demonstrasi aman dijalankan dengan baik.

Kematian dan Konfrontasi

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Mesir melaporkan, pembunuhan dua orang penunjuk perasaan di Kaherah semalam telah menjadikan jumlah kematian menjangkau 30 orang semenjak perhimpunan tersebut berlangsung pada Selasa yang lalu.

Pertempuran semalam telah merebak ke kawasan baru di Mesir termasuk wilayah Barat, khususnya di Tanta dan kawasan sekitarnya. Saksi menyatakan bahawa sua balai polis telah dibakar dengan bom molotov. Ketegangan tersebut turut berlaku di kawasan-kawasan lain termasuk Suez, Port Said, Qena,Aswan, Assiut, dan Sharm El Sheikh.

Sumber : Al-Jazeera, IkhwanWeb

No comments:

Post a Comment

Makluman keberangkatan MedicMesir bagi sesi pengambilan 2017

PENERBANGAN PERTAMA = MANSOURA & ALEX ✈ Oman Air( 23 September 2017) -Dep KUL : 9.30am -Arrive Cairo :17.05pm ✈ Info Flight  Kul➡Muscat ...