Antara cabaran terbesar yang dihadapi warga kampus khususnya siswa adalah kewangan.
Faktor berkenaan ibarat mimpi ngeri terutama jika membabitkan soal kekurangan atau ketidakcukupan sepanjang tempoh pengajian.
Meskipun sebahagian besar menerima bantuan kewangan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mahupun yayasan negeri, peningkatan kos sara hidup menjadikan jumlah diperoleh tidak mencukupi.
Bagaimanapun, ada juga mempertikaikan wujudnya masalah itu apatah lagi jika acap kali dihidangkan dengan gaya hidup 'luar biasa' ditonjolkan siswa terbabit.
Pensyarah Kanan Jabatan Ekonomi Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia (UPM) Dr Mohd Yusof Saari berkata sebenarnya terpulang pada siswa bagaimana mahu menggunakan bantuan kewangan disediakan.
Menurutnya nilai yang diberikan tidak perlu dijadikan isu utama kerana pinjaman itu bukanlah untuk menanggung keseluruhan hidup siswa tapi sebagai membantu meringankan keperluan tertentu saja.
“Maksud keperluan penting itu seperti pembayaran yuran pengajian, yuran asrama serta pembelian buku dan makanan.
“Jika hendak beli selain daripada itu contohnya telefon bimbit, kasut dan sebagainya, bantuan kewangan yang disediakan itu sudah tentu tidak mencukupi.
“Sebab itu ia dinamakan pinjaman pendidikan iaitu membantu bagi tujuan pengajian bukannya mencukupkan keperluan berbentuk kehendak peribadi, “katanya.
Menurutnya, ramai yang tidak peka malah sebahagian besarnya menyalah gunakan bantuan itu bagi tujuan selain daripada pengajian.
“Kita tidak menolak wujudnya kemungkinan golongan itu mempunyai kehendak pelbagai dan sebagai manusia, keinginan untuk membeli pelbagai barang adalah normal.
“Tapi pada masa sama, mereka perlu sedar dan berfikir dengan waras apa yang diberikan itu bukan bagi tujuan memenuhi kehendak kurang penting.
“Sebaliknya ia hanya sebagai bantuan sokongan supaya mereka boleh melunaskan keutamaan pengajian dan bakinya bagi menampung sedikit sebanyak kos sara diri sendiri sepanjang tempoh di menara gading.” katanya yang turut tidak menyangkal wujudnya sifat lupa diri apabila duit pinjaman diperoleh.
Beliau berkata situasi itu tidak membabitkan semua siswa tapi kelompok berkenaan memang ada dan sebenarnya sangat merbahaya.
“Mereka tidak berfikir panjang, berbelanja mengikut kehendak melampau kerana dorongan faktor tarikan termasuk melihat gaya hidup rakan dan pengaruh media massa.
“Benar nilai yang diperoleh itu ada kalanya mencecah hampir RM2000,00 bersih tapi ia sebenarnya tidak banyak untuk menampung kos sara diri dan pengajian satu semester pun,” katanya.
Pada masa sama, beliau mengingatkan pinjaman diberikan itu bukanlah percuma sebaliknya perlu dibayar.
“Kecuali jika anda memperoleh keputusan kelas pertama, ia akan diubah sebagai biasiswa.
“Jika keputusan biasa-biasa saja, anda perlu membayar semula jumlah berdasarkan syarat dipersetujui.
“Ramai yang terlupa atau buat-buat lupa mengenainya, jadi apabila sampai masa bayaran balik barulah rasa menyesal kerana tidak dimanfaatkan sepenuhnya dulu,”katanya.
Mengulas cara yang boleh digunakan bagi menambah pendapatan siswa sebagai menampung kehendak diri, beliau mencadangkan agar mereka melakukan kerja sampingan. Itu boleh dilakukan dengan syarat tidak sampai mengganggu keutamaan mereka belajar atau melaksanakan tugasan pengajian.
“Seperti mencari kerja pada hujung minggu atau cuti semester dan duit diperoleh itu boleh menampung atau memenuhi kehendak tanpa perlu menggunakan duit pinjaman.
“Cara ini lebih bertepatan dan saya percaya jika mereka berasa susah payah mencari wang, mereka pasti menghargai setiap sen yang ada,” katanya.
Menurutnya, pinjaman yang diberikan pada masa sekarang juga tidak sepenuhnya dan mengikut kadar bersesuaian berdasarkan syarat tertentu seperti pendapatan ibu bapa.
“Dengan jumlah itu, sememangnya ia tidak mencukupi namun itu juga bukan alasan golongan itu tidak boleh melaksanakan langkah penjimatan.
“Yang menakutkan, apabila jumlah diberikan semakin sedikit, tapi gaya berbelanja siswa ini tetap sama.
“Akhirnya, pinjaman itu habis digunakan bukan untuk tujuan belajar sebaliknya perkara sia-sia,” katanya.
Antara langkah yang beliau sarankan untuk membantu siswa menjimatkan kos ialah perkongsian bersama rakan untuk memasak jika tinggal di luar asrama, mengurangkan pembelian barang tidak penting selain mengambil inisiatif melaksanakan kerja sampingan.